Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahim & Co. (Rahim & Co), Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman menyifatkan, kenyataan-kenya­taan negatif mengenai kemasukan pelabur China ke negara ini lebih berbaur politik sehingga menimbulkan pelbagai persepsi buruk.

Beliau sehubungan itu mengesyorkan agar kerajaan mengeluarkan statistik atau data terkumpul mengenai transaksi pelaburan dan pembelian hartanah olah pihak asing di negara ini bagi mengelak lebih banyak ke­nyataan negatif dibuat oleh pihak tertentu.

Kerajaan juga jelasnya, boleh menjelaskan dasar-dasar yang dilaksanakan berkaitan pelaburan asing di dalam negara untuk pemahaman rakyat seterusnya mengelak pelbagai tanggapan negatif. 

“Setakat ini, tiada lagi data terkumpul ini, jadi adalah lebih baik jika kerajaan berbuat demikian supaya orang ramai lebih tahu apa yang berlaku dan dasar apa yang dilaksanakan. Jika tidak, masyarakat akan terus membuat pelbagai tanggapan misalnya kerajaan sedang menjual negara (kepada China) dan ada pula sesetengah pihak menyatakan pelaburan luar amat diperlukan. 

“Pelaburan luar amat dialu-alukan bukan sahaja dari China tetapi juga Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) mahupun Australia. Bahkan, dalam masa sama, ia juga memberi kesan yang baik kepada pasaran hartanah, misalnya ramai pelabur China yang berminat dengan Iskandar Malaysia yang mana kita amat memerlukannya,” katanya dalam sidang akhbar Prospek Pasaran Hartanah Rahim & Co. di sini hari ini. 

Isu pelaburan China mula mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini berikutan percanggahan pendapat pelbagai pihak mengenai projek gergasi di Johor Bahru dikenali sebagai Forest City dianggarkan sebanyak AS$100 bilion (RM442.9 bilion) dan didakwa hampir menyerupai Shenzhen, 10 tahun lalu.

Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah projek Bandar Malaysia yang menyaksikan syarikat China Railway Group Ltd. (CREC) dijangka melabur sebanyak AS$2 bilion (RM8.12 bilion) untuk membina pusat serantaunya. 

Menurut Abdul Rahim, kerajaan mempunyai peraturan dan undang-undang yang ketat, antaranya menetapkan pelabur luar hanya boleh membeli hartanah bernilai RM1 juta ke atas bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan. 

“Malah, sekiranya terdapat permintaan yang tinggi dari luar negara, tidak mustahil nilai RM1 juta ini boleh ditingkatkan kepada RM2 juta. Tetapi dalam masa sama, kita tidak boleh menyekat pelabur luar dengan sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada pasaran hartanah. 

“Saya tidak merasakan berlaku­nya kebanjiran pelaburan asing tetapi yang berlaku lambakan adalah pekerja asing yang pastinya tidak akan membeli hartanah di sini,” katanya. 

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pasaran hartanah tempatan dijangka pulih dengan me­nyaksikan peningkatan transaksi jualan sebanyak 10 peratus dalam tempoh 24 bulan akan datang. 

Bagaimanapun kata beliau. dalam tempoh 12 hingga 18 bulan pertama, prestasi transaksi masih mencabar disebabkan persekitaran ekonomi yang perlahan terutama kejatuhan nilai ringgit dan pergerakan harga mi­nyak mentah.

Katanya, jumlah keseluruhan transaksi hartanah pada sembilan bulan pertama 2016 direkodkan sebanyak 239,983 buah, menyaksikan penurunan sebanyak 11.9 peratus berbanding 272,296 buah bagi tempoh sama 2015. 

“Trend penurunan ini sudah bermula sejak 2013. Walaupun terdapat sedikit kenaikan pada 2014, tetapi trend penurunan ini berterusan sehingga 2015 dan tiga suku pertama 2016. Ini menyaksikan keseluruhan nilai transaksi hartanah juga menurun sebanyak 16.4 peratus kepada RM95.4 bilion. 

“Sehubungan itu, berdasarkan kepada trend ini, aktiviti pasaran hartanah tahun ini dijangka lebih perlahan. Secara purata, harga hartanah masih mengalami peningkatan walaupun pada kadar perlahan dan dijangka berdepan dengan tekanan jika sentimen pasaran hartanah semasa masih tidak ber­ubah,” katanya.